AHLI KUMPULAN

 

KUMPULAN 5 



Nama : Siti Sufia binti Mosidi
No.Matrik : D20192090892




Nama: Nurul Afika binti Amran
No.Matrik: D20192090904




Nama: Nurul Hafiza binti Ahmad Jais
No.Matrik: D20192090898




Nama: Nurnajiehah binti Rani
No.Matrik: D20192092007

TAUTAN (KOHESI) DAN RUNTUTAN (KOHERAN)

TAUTAN (KOHESI)

Istilah tautan digunakan bagi merujuk kepada “cohesion” dalam bahasa Inggerisnya. Istilah-istilah lain yang sinonim dengan tautan ini yang sering digunakan ialah seperti tetenunan, kohesi, kepaduan dan pautan. Tautan bermaksud keserasian hubungan antara unsur yang satu dengan unsur yang lain dalam wacana sehingga terciptalah koherensi. Menurut Sanat Md. Nasir (2002) Tautan bermaksud hubungan antara sesuatu unit teks yang lain melalui peranti tautan. Hubungan bentuk linguistik ini boleh berlaku secara hubungan semantik. Unit Teks bermaksud unit yang secara tulisannya sebagai satu ayat yang awal dan akhirnya ditandai dengan titik atau awal dan yang akhirnya dengan huruf besar. Peranti tautan pula merujuk kepada jenis tautan yang membentuk teks. Model Tautan Pindaan ( Sanat Md. Nasir, 2002) mengkategorikan tautan kepada tiga jenis utama,iaitu Tautan Perulangan, Tautan Kolokasi, dan Tautan Penghubung Ayat.

1. Tautan perulangan

Tautan perulangan menunjukkan ciri, sama ada bentuk unsur linguistik yang berulang atau dari segi makna, unsur itu yang berulang atau kedua-duanya sekali. Ciri yang sedemikian termasuklah fungsi yang terlibat untuk memperincikan tautan perulangan kepada tujuh jenis, iaitu:

a ) Tautan perulangan rujukan

Perulangan rujukan dibezakan daripada yang lainnya dari segi semantik. Unsur yang berhubungan dikaitkan kerana adanya makna rujukan itu walaupun bentuk unsur itu tidak sama. Tautan perulangan rujukan ini boleh disubkategorikan kepada jenis yanglebih kecil, iaitu perulangan rujukan peribadi, rujukan tunjuk dan rujukan bandingan. Contoh ayat:

i. Aina suka memasak.

ii. Dia juga sering ke pasar.

b) Tautan perulangan penggantian

Tautan ini berbeza dengan jenis yang lain dari segi kriteria tatabahasa dan semantik. Tautan perulangan ini bercirikan tatabahasa berbanding dengan tautan perulangan rujukan. Unsur yang menggantikan dalam tautan penggantian mengekalkan golongan tatabahasa atau tidak mengubah struktur yang digantikan.Unsur ini sebagai pancang kepada yang digantikan. erulangan dalam konteks penggantian ini ialah perulangan makna. Tautan perulangan penggantian ini boleh disubkategorikan kepada yang lebih kecil, iaitu penggantian namaan, penggantiaan karyaan dan penggantian klausaan. Contoh ayat:

i. Wacana ialah sesuatu perkara yang melebihi batas ayat seperti teks.

ii. Demikianlah jawapan Encik Asmadi sebagai menjawab soalan para pelajarnya.

C ) Tautan perulangan ellipsis

Tautan ini menyerupai perulangan penggantian seperti yang disebutkan sebelum ini,iaitu dari segi kriteria dan penjenisannya. Unsur yang digugurkan dalam ayat dapat diinterprestasikan berdasarkan unsur yang mendahuluinya. Justeru, ia dinamakan penggantian kosong yang menggunakan simbol Ø. Contoh ayat:

i. Saya telah memperdengarkan bacaan al-Quran di tiga buah negara luar iaitu Australia, Afrika dan Pakistan.

ii. Saya berharap dapat memperdengarkan bacaan Ø ke lebih banyak negara. Kata Azmi lagi.

d) Tautan perulangan leksikal

Tautan ini dibezakan dengan yang lain dari segi kriteria bentuk leksikal dan makna. Bentuk yang diulang itu mungkin sama atau mempunyai akar kata yang sama, yang bersinonim atau kata umum. Contoh ayat:

i. Stadium di IPG Kampus Kota Kinabalu kini hanya membabitkan kerja-kerja akhir seperti pemasangan lampu, papan markah elektronik dan mengindahkan lanskap.

ii. Saya gembira dengan perkembangan pembinaan stadium kini melibatkan maslah kecil sahaja. Kata Pengarah IPG Kota Kinabalu.

e) Tautan perulangan Prafrasa

Tautan ini merujuk kepada perulangan makna yang sama dan bukan bertaraf leksikal, tetapi daripada unsur yang bersifat frasa sehinggalah ayat. Ia dibezakan dari segi bentuk susunan unsur yang bertaut itu. Contohnya ayat:

i. Bidang kejurulatihan dan pengadilan ditawarkan buat bekas gimnas artistic negara, Aizati Dawi kecimpung dalam sukan ini pada masa depan.

ii. Nama atlit itu dicadangkan untuk menyertai kursus kepengadilan bagi Asia Tenggara sebagai persediaan menjadi pengadil pada masa-masa akan datang.

f) Tautan perulangan paralelisme

Tautan ini merupakan pertentangan kepada perulangan parafrasa. Tautan ini merujuk kepada bentuk susunan yang sama antara unsur yang bertaut, tetapi mempunyai makna yang berlainan. Unsur yang bertaut ini bukan bersifat leksikal, tetapi sekadar antara ayat atau unit teks yang singkat atau subjek dan predikat sesuatu ayat sehingga terasa hubungan itu sesuatu yang bermakna. Contohnya ayat:

i. Sekurang-kurangnya 100 orang maut apabila satu kebakaran berlaku di sebuah kedai makan di Jerman.

ii. Sekeluarga yang terdiri daripada sembilan orang maut apabila satukebakaran berlaku di sebuah banglo di Jalan Petaling Jaya.

g) Tautan perulangan struktur dan makna yang sama

Tautan perulangan ini merujuk kepada unsur yang bertaut bukan bertaraf leksikal,tetapi yang bertaraf frasa sehinggalah ayat. Tautan jenis ini menunjukkan persamaan dari segi bentuk susunan dan makna. Tautan ini menyatukan aspek tertentu parafrasa dan paralelisme. Contohnya ayat:

i. Persidangan terbesar bandar pintar pernah diadakan bagi meningkatkan perkhidmatan pelbagai jabatan kerajaan yang menjagakepentingan penduduk setempat.

ii. Persidangan itu bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan berbagai-bagai jabatan kerajaan yang menjaga kepentinga penduduk setempat dan para pelancong.

 

2. Tautan kolokasi

Tautan kolokasi tidak melibatkan unsur linguistiknya berulang bentuk dan makna.Tautan jenis ini merujuk kepada konteksnya, iaitu kehadiran sesuatu linguistik dengan yang lain antara dua unit teks. Kehadiran ini melibatkan domain makna. Dengan berdasarkan domain makna inilah kehadiran unsur linguistik yang terlibat diperincikan kepada empat jenis, iaitu:

a) Tautan kolokasi antonim

Tautan ini menunjukkan kehadiran unsur tautan yang bercirikan makna yangberlawanan. Contohnya ayat:

i. Industri perindustrian tempatan masa kini semakin diperakui diperingkat antarabangsa.

ii. Berbanding pada masa dahulu industri ini kurang mendapat tempat.

b) Tautan kolokasi kohiponiman

Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna unsur pada peringkat superordinate dengan ordinatnya atau antara hiponima atau termasuk meronimi, yakni hubungan unsur yang sebahagian yang menyeluruh atau antara unsur sebahagian daripada entiti yang menyeluruh. Contoh ayat:

i. Program tuisyen mata pelajaran utama bertujuan untuk membantupelajar mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.

ii. Pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu, Matematik Sains dan Bahasa Inggeris disarankan untuk menghadiri tuisyen itu secara percuma.

c) Tautan Kolokasi HasilTautan ini melibatkan kehadiran hubungan makna unsur tautan yang satumenghasilkan yang lain atau unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik.Contohnya ayat:

i. Kanak- kanak berusia lima tahun nyaris putus tiga jari tangan kananapabila mercun bola yang dipasangkan meletup secara tiba- tiba.

ii. Kejadian berlaku kerana ada ibu bapa yang berpendapat bahawapermainan bunga api dan mercun merupakan satu kemestian padasetiap kali perayaan

d) Tautan kolokasi sifat

Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna antara unsur tautan yangmenjadi punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat. Contoh ayat:

i. Kempen mengharamkan sajian makanan haram bersama minumanhalal yang lain kepada pengunjung Muslim telah diadakan secarabesar- besaran di negara itu.

ii. Pihak hotel perlu peka bahawa Islam melarang umatnya makanmakanan yang memudaratkan bagi menjamin akhlak yang terpuji.

 

3. Tautan penghubung ayat

Tautan penghubung ayat ditentukan dengan melihat fungsi unsur linguistik itu.Penghubung itu berperanan untuk menghubungkan antara unsur linguistik, iaitu unitteks sebelum dan yang sesudahnya. Penghubung itu sendiri bukan unsur tautan, tetapisebagai menghubungkan unit teks. Dengan berdasarkan kriteria makna, penghubungayat itu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:

a) Tautan penghubung ayat tambahan

Penghubung ayat tambahan merupakan inti atau butiran yang memberikan tambahan kepada sesuatu perkara yang diutarakan oleh penyampai.  Contoh ayat:

i. “Milah amat menyayangi anaknya, Fiza, justeru merancang untuk memberikannya  seutas rantai emas.”

b) Tautan penghubung ayat tentangan

Penghubung ayat jenis ini ialah pernyataan yang berlawanan atau bertentangan. Hal ini boleh dilihat dengan jelas melalui kata hubung yang menunjukkan kontra.  Contoh ayat:

i. “ Anita bercadang untuk tinggal di Amerika dalam tempoh yang lebih lama tetap ibunya menyuruh dia pulang ke tanahair untuk menguruskan syarikat mereka.”

c) Tautan penghubung ayat sebab-musabab

Jenis penghubung ayat ini menggabungkan dua unsur yang berkaitan. Contoh ayat:

i. “Mizan telah menyedari akan kesilapannya yang selalu bercakap kasar terhadap  ayahnya. Oleh itu, dia bergegas pulang ke kampung untuk memohon maaf.”

d) Tautan penghubung ayat waktu

Penghubung ayat jenis ini merujuk kepada pertautan yang melambangkan tempoh, jangka masa, atau waktu. Contoh ayat:

i. Sebelum ini, rumah tersebut kelihatan sangat cantik.”

e) Tautan penghubung ayat terusan

Penghubung jenis ini tidak termasuk dalam mana-mana empat jenis penghubung ayat yang dibincangkan sebelum ini. Contoh ayat:

i. Kini, sudah dua tahun kapal terbang MH370 hilang daripada radar"

 

RUNTUTAN (KOHEREN)

Runtutan ini dikatakan sebagai perantaraan gagasan idea yang menunjukkan sesuatu idea atau fikiran yang dijalin dalam sebuah cerita atau peristiwa untuk membentuk sesuatu teks. Peristiwa atau cerita yang disampaikan itu pula semestinya mempunyai makna. Maka, erti makna di sini adalah merujuk kepada suatu objektif medium untuk menyampaikan bahasa atau tanda-tanda lain untuk mewakili dan menyampaikan pengetahuan yang sebenarnya dalam sesebuah teks.

1. Penanda penghubung

Penanda penghubung merupakan perkataan atau frasa yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan makumat yang lain dalam wacana. Penanda ini dibahagikan kepada empat iaitu penghubung tambahan, penghubung tentangan, penghubung musabab dan penghubung tempoh.

a) Penghubung tambahan

Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkata yang ingin diperkatakan sebelumnya.

Contoh: dan, lalu, malaha , lebih-lebih lagi, tambahan pula, di samping itu, selain itu, selanjutnya, lagipun, juga.

b) Penghubung tentangan

Penghubung tentangan merupakan penghubung yang menujukkan pertentangan maklumat antara suatu yang baharu dengan yang sebelumnya dalam wacana yang sama.

Contoh: tetapi, namun, sebaliknya, namun begitu, walau bagaimapun, namun demikian, jika tidak.

c) Penghubung musabab

Penghubung musabab atau akibat adalah penanda wacana yang merupakan sebab berlakunya sesuatu.

Contoh: kerana, oleh hal demikian, dengan itu, oleh sebab, maka itu, oleh itu, dengan yang demikian, jadi, sebagai akibatnya.

d) Penghubung tempoh

Penghubung tempoh merupakan penanda penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu.

Contoh: pertamanya, seterusnya, kemudian, selepas itu, selanjutnya, maka, akhirnya, berikutnya, sekarang, pada masa itu, pada ketika itu, pada masa sekarang.

1. Penanda rujukan

Penanda rujukan ialah kata ganti nama diri orang (pertama, kedua, dan ketiga) dan kata ganti nama tunjuk (ini, itu, sini, sana dan situ) ang digunakan bagi merujuk kepada perkataan atau frasa lain.

2. Penanda penggantian

Penanda penggantian ialah frasa nama, frasa kerja, atau klausa yang menggantikan perkataan atau frasa lain dalam wacana yang sama. Penanda penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal. Penggantian nominal ialan penggantian yang dilakukan terhadap kata nama atau frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata atau frasa kerja dan penggantian kalusa pula melibatkan penggantian sebahagian daripada ayat.

a) Penggantian nominal

Contoh:

“Pembuangan bayi semakin menjadi-jadi terutamanya di bandar besar. Pihak berkuasa harus bertindak segera untuk mengatasi gejala ini.” (frasa nama)

Untuk menggantikan: pembuangan bayi > gejala ini

b) Penggantian verbal

Contoh:

“Saya sengaja tidak mahu menebang pokok nangka itu. Nanti baru saya lakukan.

Untuk menggantikan: menebang pokok durian > lakukan

 

d) Penggantian klausa

Contoh:

“Mereka berkata bahawa saya tidak akan lulus dalam ujian temuduga itu. Bahawa mereka beranggap demikian tidaklah menghairankan saya.

Untuk menggantikan: Mereka berkata bahawa saya tidak akan lulus dalam ujian temuduga itu > mereka beranggapan demikian

 

3. Penanda leksikal

Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan (kohesi) antara perkataan atau frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana. Penanda leksikal melibatkan unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan kata yang terlibat ialah pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim, hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan.

a) Pengulangan perkataan yang sama

“Ali berjabat tangan dengan pegawai itu. Adiknya juga berjabat tangan dengan pegawai itu.

b) Pengulangan sinonim > pengulangan perkataan sama makna

“Saya mendapati doktor itu sangat kacak. Kawan-kawan saya juga bersetuju bahawa doktor itu amat tampan.

c) Pengulangan hiponim > pengulangan yang melibatkan perkataan yang umum dan khusus maknanya.

“Penjaja itu menjual pelbagai jenis makanan seperti keropok, kerepek, kacang dan biskut.

d) Pengulangan kolokasi > pengulangan kata yang kehadirannya saling berkait.

“Perhijrahan penduduk dari desa ke bandar disebabkan oleh faktor tarikan dan faktor tolakan.

4. Penanda Elipsis

Penanda ellipsis juga disebut sebagai penanda pengguguran. Penanda ini melibatkan pengguguran frasa atau perkataan yang telah dinyatakan dalam ayat yang sebelumnya.

 

RUJUKAN :

Nur Shazana Ayuni Ahmad Jailani, Christie Shayun Anak Damon, Nurul Nadzirah Jasni & Norazura Yazid (2016). Analisis Wacana. http://analisiswacana2016.blogspot.com/2016/05/tautan-kohesi-dan-runtutan-koheren.html

Rozita Mohamad Yuneh (2022). Model Pengajaran Unsur Tautan (2009) dalam Pendidikan Bahasa Melayu: Trend, Elemen, dan Faedah. Jurnal Melayu, 21(1), 42-56.

 


STRUKTUR MAKLUMAT DAN STRUKTUR TEMA

 STRUKTUR MAKLUMAT DAN STRUKTUR TEMA

Menurut Halliday dalam Bloor (1995:66), terdapat dua sistem yang hampir sama yang melibatkan struktur dalam klausa. Yang pertama dikenali sebagai struktur maklumat yang melibatkan binaan yang disebut maklumat lama dan maklumat baru dan yang kedua melibatkan binaan yang dikenali sebagai tema dan rema.

Struktur Tema

Menurut pendapat Halliday yang dipetik oleh Mohd Rashid Md Idris (2007), struktur tema merupakan salah satu struktur yang bercirikan amanat. Menurut Samad Md. Nasir, struktur tema dilihat sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat. Menurutnya lagi, klausa sebagai struktur amanat terdiri daripada tema dan rema. Tema merujuk kepada kategori formal sebagai unsur pada kedudukan awal klausa, titik mula klausa sebagai amanat. Manakala rema pula adalah yang selebihnya, iaitu bahagian yang mengembangkan ataupun menerangkan tentang tema.

ST (Struktur Tema) = T (Tema) + R (Rema)

Tema

Tema lazimnya berada di hadapan sebagai titik mula amanat dan perhatian dalam klausa. Selain itu, tema juga merujuk kepada kategori formal sebagai unsur pada kedudukan awal klausa. Tema boleh terdiri daripada kata nama, kata sendi nama dan kata hubung.

Rema

Rema pula didefinisikan sebagai bahagian yang mengembangkan tema. Lazimnya, rema terletak pada bahagian belakang, yakni selepas tema.

Struktur Maklumat

Manakala Halliday (1998) menyatakan bahawa struktur maklumat didefinisikan sebagai suatu proses interaksi antara apa yang telah diketahui atau boleh diagak dan apa yang baru atau yang tidak boleh diagak. Struktur maklumat mengandungi unit-unit maklumat yang strukturnya terbina daripada dua fungsi, iaitu maklumat lama dan maklurnat baru. Maklumat baru merupakan maklumat yang diandaikan oleh penutur sebagai maklumat yang masih belum diketahui oleh pendengar. Manakala maklumat lama pula didefinisikan sebagai maklumat yang diandaikan oleh penutur telah diketahui pendengar sama ada telah ada dalam teks  atau melalui hubungan wacana. Konsep struktur maklumat Halliday ini turut disentuh oleh Brown dan Yule (1983). Manakala Crystal (1987:157), mentakrifkan maklumat lama sebagai maklumat yang telah dibekalkan berdasarkan konteks sebelumnya semasa bertutur, manakala maklumat baru pula, maklumat yang menambahkan maklumat yang telah sedia ada.

            Sanat ( 1997) melihat struktur maklumat berdasarkan fungsi. Beliau mendefinisikan struktur maklumat sebagai organisasi teks atau wacana yang berdasarkan fungsi maklumat lama dan maklumat baru. Menurut beliau lagi, struktur maklumat direalisasikan berdasarkan sistem sintaksis dan fonologi. Sato Hirobumi mengaitkan definisi struktur maklumat dengan kegiatan pertuturan. Tokoh ini berpendapat bahawa penyampai ataupun penulis selalunya tidak memberi peluang untuk memastikan maklumat yang hendak disampaikannya itu merupakan maklumat lama atau maklumat baru bagi penerimanya. Kenyataan ini bermakna bahawa keberkesanan komunikasi adalah terjejas dan sering terputus-putus sekiranya penyampai sentiasa memastikan tiap-tiap maklumat yang disampaikannya itu lama atau baru semasa komunikasi sedang berlaku. Oleh itu, penyampai seharusnya melakukan tambahan maklumat baru satu demi satu mengenai sesuatu topik melalui maklumat lama yang sudah diketahui oleh penerima atau pembacanya. Penelitian struktur maklumat yang dibuat oleh Sato pula (1991) dikaitkan dengan struktur tema. Beliau mengaitkan struktur maklumat dengan susunan ayat secara logik, iaitu judul cerita dalam bentuk lahirnya. Tambahnya lagi, dalam menyampaikan maklumat, penyampai perlu memulakan cerita berdasarkan perkara yang telah ada dalam pengetahuan penerima, yang disebut sebagai “pengetahuan latar” penerima maklumat. Dalam hal ini, pengetahuan latar yang telah menjadi milik penerima dinamakan maklumat lama dan pengetahuan yang telah ditokok tambah oleh penyampai dinamakan maklumat baru. Beliau telah membahagikan struktur maklumat dengan dua aspek iaitu maklumat lama (ML) ada 7 penanda iaitu dan maklumat baru ada 4 penanda:

 

Maklumat Lama

  1. Kaedah perujukan

Kaedah perujukan merujuk kepada perkara atau hal yang secara langsung dirujuk

melalui teks dan rujukan yang dibuat itu dan dapat dikenal pasti melalui penggunaan

kata ganti.

  1. Kaedah penggantian

Sesuatu unsur yang disebut, kemudian digantikan dalam bentuk baharu secara sistematik ataupun nahuan.

  1. Kaedah perulangan seluruh

Dari perspektif nahuannya, kaedah perulangan seluruh membawa makna perulangan

yang berlaku pada unsur-unsur dalam wacana tanpa menimbulkan sebarang perubahan

pada kategorinya.

  1. Kaedah perulangan sebahagian

Kaedah perulangan sebahagian ialah perubahan kategori yang berlaku pada rangkai

kata yang mengulang.

  1. Kaedah penghilangan (elipsis)

Didefinisikan sebagai berlakunya penghilangan penyampaian atau amanat penulis. Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah elipsis.

  1. Kaedah leksikal (pertalian semantik)

Kaedah leksikal merujuk kepada pertalian antara ayat secara semantik. Hal yang

demikian ini bermaksud, setiap ayat mengandungi ikatan atau pertalian yang

dihubungkan secara semantik.

  1. Kaedah parafrasa (perulangan dalam bentuk lain)

Penyataan idea yang sama tetapi cara pengolahannya berbeza.

 

Maklumat Baru

  1. Maklumat baru tambahan (MBT)

Merujuk kepada maklumat baru yang ditambah berdasarkan maklumat lama yang

muncul di titik permulaan perbicaraan ayat.

  1. Maklumat baru kontrastif (MBK)

Maklumat baru kontrastif pula merujuk kepada dua atau lebih klausa berbeza dari segi

semantik.

  1. Maklumat baru neutral (MBN)

Maklumat baru pemberitaan neutral merujuk kepada susunan maklumat yang tidak

mengandungi sebarang maklumat lama yang disediakan dalam peraanggapan

sebagaimana contoh ayat yang dinyatakan.

  1. Maklumat baru fokus (MBF)

Maklumat baru merujuk kepada susunan maklumat yang melibatkan fokus

pembezaannya (maklumat baru) yang menduduki tema (judul).


RUJUKAN:

Mohd Rashid Md. Idris et. al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

Ikin Hassim, Lau King Siew, & Maria Felcee anak Lee Bass. (2016, April 8). Aspek Kajian Wacana. Wacana Ilmuan. https://analisiswacana-kd1.blogspot.com/p/hasil-Analisis.html

CIRI-CIRI WACANA

 CIRI-CIRI WACANA

Setiap tokoh bahasa mempunyai pelbagai pendapat terhadap sesuatu ciri-ciri wacana misalnya menurut Mohd Rashid Md Idris (2004)  beliau telah membahagikan ciri wacana kepada koheren, kohesi, tujuan, maklumat, diterima, hubungan, andaian dan inferen, gaya dan maklumat tidak berlawanan. Manakala Asmah Hj. Omar pula dalam artikelnya “Analsis Wacana”  pula menyatakan bahawa ciri wacana ada 8 iaitu satuan bahasa terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi kesinambungan. kohesi lisan atau tulisan awal dan akhir yang nyata.

 Namun bagi tokoh bahasa Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga,  terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana- wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahami apa yang didengar atau dibaca.  Jelasnya, ciri-ciri wacana boleh dikatakan ada banyak. Oleh itu, penyelidik akan menyeneraika ciri-ciri wacana yang umum dan selalu digunakan dalam penulisan teks dan pertuturan lisan. 

1. Berpautan

Menurut Idris Aman (2010), berpautan merujuk kepada aspek formal bahasa dalam wacana atau teks. Ianya juga dikatakan tentang organisasi sintaktik wacana atau teks, iaitu wadah ayat-ayat yang digembleng secara sepadu dan berkaitan dengan memanfaatkan alat-alat kebahasaan untuk menghasilkan wacana tulisan ataupun lisan. Dalam erti kata yang mudah,berpautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan dalam tulisan. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama.

Dengan kata lain,wujudnya pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi. Tautan juga dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan teks yang lain sehingga membentuk satu kesatuan. Contohnya:

 Fiza, Aira dan Sarah ke Bitarasiswa. Mereka ke sana untuk menyiapakan tugasan kumpulan yang diberikan oleh cikgu.

 Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat tautan antara kedua-dua ayat tersebut, iaitu perkataan Mereka merujuk kepada Fiza, Aira, dan Sarah manakala perkataan sana merujuk kepada Bitarasiswa. Kedua-dua ayat tersebut dianggap wacana kerana dapat difahami dan bermakna.

2. Bermaklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini. Menurut Idris Aman (2010), wacana yang baik mesti mengandungi maklumat baru kepada khalayak sasarannya. Jika khalayak wacana sudah mengetahui maklumat dalam wacana atau teks yang diutarakan, itu dikira tidak memenuhi ciri ini. Begitu juga jika penerima wacana tidak memahami maklumat yang terkandung dalam wacana atau teks, perkara ini turut dikatakan tidak memenuhi syarat “bermaklumat”. Maklumat bukan sahaja boleh disampaikan secara pemberitahuan langsung, tetapi juga melalui penceritaan. Contohnya:

 1)Puan Asma seorang guru.

 2)Beliau seorang guru bahasa Melayu.

Dalam contoh di atas dapat dilihat perkataan guru dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan sebelumnya. Guru bahasa Melayu pula ialah maklumat baru kerana baru disebutkan dalam ayat itu.

3. Berkesinambungan

Menurut Idris Aman (2010), berkesinambungan adalah berkenaan dengan aliran idea terus dalam wacana atau teks. Secara dasarnya, setiap wacana mempunyai satu idea teras yang menjadi inti patinya. Aliran idea teras itu dalam ujaran atau ayat atau bahagian wacana secara sistematik, lancar, bertalian, dan logik itulah yang dikatakan berkesinambungan. Tidak ada masukkan idea baru yang tidak bertalian. Oleh itu, kesinambungan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Sebagai contohnya:

 Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

 Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui melalui perkataan Aids,gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya sesuai. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya sesuai. Sebagai contohya:

 Wanita itu membeli baju baharu berwarna merah jambu. Warna merah jambu adalah merupakan warna kegemaran golongan remaja perempuan pada masa ini. Remaja kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau sesuai.

4. Bertujuan

Wacana harus ada tujuan yang tersendiri, yakni pewacana mesti ada tujuan tertentu dalam wacananya, misalnya untuk mengemukakan maklumat, memberitahu berita, menghujam pandangan, memujuk, mengubah persepsi, menyata simpati, marah dan lain-lain. Sebagai contohnya ialah:

 Inilah peluang anda untuk mendapatkan kereta Proton pada harga yang paling rendah. Kunjungilah pengedar kereta Proton yang berhampiran dan rebutlah peluang ini sebelum terlambat dan stok masih ada.

Dalam contoh di atas, tujuan utamanya adalah untuk memujuk orang ramai supaya membeli kereta Proton. Selain itu, wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya. Tujuan itu tidaklah semestinya dinyatakan secara langsung malah boleh juga secara tak langsung asalkan masih boleh diikuti oleh penerima wacananya melalui unsur-unsur linguistik yang digembleng dan soal situasi. Contohnya ujaran:

 “Kau jangan merempit, kemalangan nanti!”

Berdasarkan ayat di atas dengan jelas kita dapat lihat dari segi linguistiknya seperti seseorang sedang melarang. Tetapi situasinya, setelah dilarang berkali-kali, si anak masih juga merempit dan kebetulan kemalangan dan kemungkinan si ibu akan mengujarkan

“Hah merempitlah lagi!”

Ujaran kedua ini bukan bertujuan menyuruh tetapi memarahi anak.

5. Berkonteks

Penghasilan sebuah wacana memperkirakan konteks dan situasinya. Konteks penting kepada sesuatu wacana atau teks bagi menghasilkan tekstualiti. Konteks memberi kefahaman dan kebolehterimaan kepada sasarannya. Gambaran konteks dalam wacana, membantu penerima wacana memperolehi maksud wacana berkenaan dengan lebih mudah. Tanpa konteks mungkin membuatkan penerima tercari-cari atau tertanya-tanya akan maksud wacana. Selain tu, berkonteks ini merupakan latar sewaktu bahasa itu digunakan dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Misalnya, ungkapan “sila masuk” difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seseorang masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-harian terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar membeli belah, latar berekreasi, latar beribadah dan banyak lagi. Setiap latar menghasilkan wacananya yang tersendiri. Ada dua jenis konteks, iaitu konteks linguistik dan konteks bukan linguistik atau eksperiensial. Konteks linguistik adalah aspek bahasa yang melatari atau membentuk wacana. Konteks bukan linguistik adalah konteks cara wacana berfungsi atau berlangsung. Ini termasuk jenis peristiwa yang melatarinya, iaitu seperti jenaka, cerita, kuliah, ucap selamat dan sebagainya. Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal.

Gaya formal: Wujud apabila seorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru.

Gaya tidak formal: Wujud dalam hubungan biasa antara rakan.

Dalam hubungan tidak formal ianya akan menghasilkan kesan dialek sosial, slanga, percampuran kod dan pelbagai lagi mengikut pengaruh di sekeliling penutur dalam pertuturan.

 

INTERTEKS

Interteks adalah merupakan pengetahuan sedia ada pada pembaca mahupun pendengar mengenai sesuatu perkara yang diperkatakan tahap penerimaan semakin tinggi apabila masyarakat semakin banyak mendengar dan membaca sesuatu maklumat. Melalui interteks, pembaca atau penerima akan lebih memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan. Kefahaman seseorang terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau didengar akan membantunya menghasilkan interteks. Interteks juga perlu mempunyai pertalian. Dalam sesuatu ayat atau perenggan, ayat sebelumnya atau perenggan sebelumnya mempunyai maklumat yang diperkatakan sebagai interteks. Interteks boleh dilihat melalui ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan serta buku dengan buku. Contoh seperti di bawah:

Kereta itu berwarna kuning. Ali memandu kereta itu.

Contoh di atas menunjukkan ciri interteks. Melalui ayat kedua, kita mengetahui Ali memandu kereta berwarna kuning melalui pernyataan ayat yang pertama.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, ciri-ciri wacana tersebut perlu ada dalam memastikan wacana itu ialah wacana yang baik. Kelima-lima ciri wacana ini memainkan peranannya yang tersendiri dalam membentuk dan menghasilkan wacana. Namun demikian, ciri yang paling penting dan asas bagi wacana adalah berkesinambungan dan berpautan. Malah, dalam analisis wacana, ciri perpautan telah mendapat perhatian lebih pengkaji. Selain itu, bukan semua ciri-ciri tersebut dipertimbangkan untuk setiap analisis wacana.Pertimbangan kepentingan sesuatu ciri wacana terletak pada tujuan analisis. Misalnya, intertekstual diberi perhatian untuk analisis tipologi teks, dan keterimaan untuk analisis normatif , seperti mengetahui „apakah ciri teks yang baik?.‟ Oleh hal yang demikian, ciri-ciri wacana ini sangat penting dalam penghasilan suatu perkara, yakni tulisan mahupun lisan. Ia boleh digunakan berdasarkan konteks dan tujuan analisis. Sekiranya ciri-ciri ini tiada, maka ia bukanlah wacana. 


RUJUKAN:

Mohd Rashid Md. Idris et. al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

Ikin Hassim, Lau King Siew, & Maria Felcee anak Lee Bass. (2016, April 8). Aspek Kajian Wacana. Wacana Ilmuan. https://analisiswacana-kd1.blogspot.com/p/
            hasil-Analisis.html