CIRI-CIRI WACANA

 CIRI-CIRI WACANA

Setiap tokoh bahasa mempunyai pelbagai pendapat terhadap sesuatu ciri-ciri wacana misalnya menurut Mohd Rashid Md Idris (2004)  beliau telah membahagikan ciri wacana kepada koheren, kohesi, tujuan, maklumat, diterima, hubungan, andaian dan inferen, gaya dan maklumat tidak berlawanan. Manakala Asmah Hj. Omar pula dalam artikelnya “Analsis Wacana”  pula menyatakan bahawa ciri wacana ada 8 iaitu satuan bahasa terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi kesinambungan. kohesi lisan atau tulisan awal dan akhir yang nyata.

 Namun bagi tokoh bahasa Nik Safiah Karim dalam Tatabahasa Dewan edisi Ketiga,  terdapat dua ciri utama dalam sebuah wacana yang utuh iaitu, kohesi (atau tautan) dan koheren (atau runtutan). Menurut beliau lagi, terdapat juga ciri-ciri yang lain termasuklah tujuan sesuatu wacana, penerimaan oleh pendengar atau pembaca, maklumat yang terkandung, keadaan yang mewujudkan wacana dan interteks atau peranan wacana- wacana lain yang membantu pendengar atau pembaca memahami apa yang didengar atau dibaca.  Jelasnya, ciri-ciri wacana boleh dikatakan ada banyak. Oleh itu, penyelidik akan menyeneraika ciri-ciri wacana yang umum dan selalu digunakan dalam penulisan teks dan pertuturan lisan. 

1. Berpautan

Menurut Idris Aman (2010), berpautan merujuk kepada aspek formal bahasa dalam wacana atau teks. Ianya juga dikatakan tentang organisasi sintaktik wacana atau teks, iaitu wadah ayat-ayat yang digembleng secara sepadu dan berkaitan dengan memanfaatkan alat-alat kebahasaan untuk menghasilkan wacana tulisan ataupun lisan. Dalam erti kata yang mudah,berpautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan dalam tulisan. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama.

Dengan kata lain,wujudnya pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi. Tautan juga dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan teks yang lain sehingga membentuk satu kesatuan. Contohnya:

 Fiza, Aira dan Sarah ke Bitarasiswa. Mereka ke sana untuk menyiapakan tugasan kumpulan yang diberikan oleh cikgu.

 Berdasarkan contoh ini, dapat dilihat tautan antara kedua-dua ayat tersebut, iaitu perkataan Mereka merujuk kepada Fiza, Aira, dan Sarah manakala perkataan sana merujuk kepada Bitarasiswa. Kedua-dua ayat tersebut dianggap wacana kerana dapat difahami dan bermakna.

2. Bermaklumat

Setiap wacana mempunyai maklumat. Maklumat terdiri daripada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum ini. Menurut Idris Aman (2010), wacana yang baik mesti mengandungi maklumat baru kepada khalayak sasarannya. Jika khalayak wacana sudah mengetahui maklumat dalam wacana atau teks yang diutarakan, itu dikira tidak memenuhi ciri ini. Begitu juga jika penerima wacana tidak memahami maklumat yang terkandung dalam wacana atau teks, perkara ini turut dikatakan tidak memenuhi syarat “bermaklumat”. Maklumat bukan sahaja boleh disampaikan secara pemberitahuan langsung, tetapi juga melalui penceritaan. Contohnya:

 1)Puan Asma seorang guru.

 2)Beliau seorang guru bahasa Melayu.

Dalam contoh di atas dapat dilihat perkataan guru dalam ayat (2) merupakan maklumat lama kerana telah dinyatakan sebelumnya. Guru bahasa Melayu pula ialah maklumat baru kerana baru disebutkan dalam ayat itu.

3. Berkesinambungan

Menurut Idris Aman (2010), berkesinambungan adalah berkenaan dengan aliran idea terus dalam wacana atau teks. Secara dasarnya, setiap wacana mempunyai satu idea teras yang menjadi inti patinya. Aliran idea teras itu dalam ujaran atau ayat atau bahagian wacana secara sistematik, lancar, bertalian, dan logik itulah yang dikatakan berkesinambungan. Tidak ada masukkan idea baru yang tidak bertalian. Oleh itu, kesinambungan merupakan asas dalam pembinaan wacana kerana sesuatu teks itu dianggap sebagai wacana jika teks tersebut mempunyai makna. Sebagai contohnya:

 Penyakit sindrom kurang daya tahan atau Aids bukanlah gejala yang baharu. Penyakit ini telah lama dikesan di beberapa buah negara di Eropah. Walaupun bidang sains dan teknologi berkembang maju, tetapi masalah ini masih tidak dapat diatasi.

 Contoh di atas jelas menunjukkan kesinambungan idea melalui melalui perkataan Aids,gejala, penyakit dan masalah ini. Kesinambungan idea ini telah menjadikan ayat-ayat tersebut bertaut di antara satu sama lain untuk membentuk wacana yang bermakna. Kebanyakan wacana mempunyai tautan untuk menjadikannya sesuai. Walau bagaimanapun, teks yang bertaut tidak semestinya sesuai. Sebagai contohya:

 Wanita itu membeli baju baharu berwarna merah jambu. Warna merah jambu adalah merupakan warna kegemaran golongan remaja perempuan pada masa ini. Remaja kini ramai yang menghadapi masalah sosial.

Berdasarkan teks di atas, setiap ayat mempunyai tautan. Tetapi teks tersebut tidak merupakan wacana kerana teks tersebut tidak bermakna dan tidak difahami. Malahan, teks tersebut tidak mempunyai kesinambungan idea atau tidak koheren. Oleh itu, untuk menghasilkan wacana, sesuatu teks itu perlulah koheren atau sesuai.

4. Bertujuan

Wacana harus ada tujuan yang tersendiri, yakni pewacana mesti ada tujuan tertentu dalam wacananya, misalnya untuk mengemukakan maklumat, memberitahu berita, menghujam pandangan, memujuk, mengubah persepsi, menyata simpati, marah dan lain-lain. Sebagai contohnya ialah:

 Inilah peluang anda untuk mendapatkan kereta Proton pada harga yang paling rendah. Kunjungilah pengedar kereta Proton yang berhampiran dan rebutlah peluang ini sebelum terlambat dan stok masih ada.

Dalam contoh di atas, tujuan utamanya adalah untuk memujuk orang ramai supaya membeli kereta Proton. Selain itu, wacana harus ada tujuan yang menentukan sesuatu jenis ayat. Contohnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan sesuatu perbuatan, jenis ayat yang terbentuk ialah ayat perintah. Begitu juga tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, jadi ayat yang terbentuk ialah ayat Tanya. Tujuan itu tidaklah semestinya dinyatakan secara langsung malah boleh juga secara tak langsung asalkan masih boleh diikuti oleh penerima wacananya melalui unsur-unsur linguistik yang digembleng dan soal situasi. Contohnya ujaran:

 “Kau jangan merempit, kemalangan nanti!”

Berdasarkan ayat di atas dengan jelas kita dapat lihat dari segi linguistiknya seperti seseorang sedang melarang. Tetapi situasinya, setelah dilarang berkali-kali, si anak masih juga merempit dan kebetulan kemalangan dan kemungkinan si ibu akan mengujarkan

“Hah merempitlah lagi!”

Ujaran kedua ini bukan bertujuan menyuruh tetapi memarahi anak.

5. Berkonteks

Penghasilan sebuah wacana memperkirakan konteks dan situasinya. Konteks penting kepada sesuatu wacana atau teks bagi menghasilkan tekstualiti. Konteks memberi kefahaman dan kebolehterimaan kepada sasarannya. Gambaran konteks dalam wacana, membantu penerima wacana memperolehi maksud wacana berkenaan dengan lebih mudah. Tanpa konteks mungkin membuatkan penerima tercari-cari atau tertanya-tanya akan maksud wacana. Selain tu, berkonteks ini merupakan latar sewaktu bahasa itu digunakan dan membantu pendengar atau pembaca memahami sesuatu wacana. Misalnya, ungkapan “sila masuk” difahami kerana digunakan dalam keadaan latar seseorang mempelawa seseorang masuk ke dalam bilik atau rumahnya. Dalam kehidupan sehari-harian terdapat pelbagai jenis latar, misalnya latar rumah tangga, latar tempat kerja, latar membeli belah, latar berekreasi, latar beribadah dan banyak lagi. Setiap latar menghasilkan wacananya yang tersendiri. Ada dua jenis konteks, iaitu konteks linguistik dan konteks bukan linguistik atau eksperiensial. Konteks linguistik adalah aspek bahasa yang melatari atau membentuk wacana. Konteks bukan linguistik adalah konteks cara wacana berfungsi atau berlangsung. Ini termasuk jenis peristiwa yang melatarinya, iaitu seperti jenaka, cerita, kuliah, ucap selamat dan sebagainya. Setiap wacana perlu dikaji kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya yang akan menentukan gaya wacana sama ada gaya formal atau tidak formal.

Gaya formal: Wujud apabila seorang guru pelatih berkomunikasi dengan pensyarah, murid atau pelajar berhubung dengan guru.

Gaya tidak formal: Wujud dalam hubungan biasa antara rakan.

Dalam hubungan tidak formal ianya akan menghasilkan kesan dialek sosial, slanga, percampuran kod dan pelbagai lagi mengikut pengaruh di sekeliling penutur dalam pertuturan.

 

INTERTEKS

Interteks adalah merupakan pengetahuan sedia ada pada pembaca mahupun pendengar mengenai sesuatu perkara yang diperkatakan tahap penerimaan semakin tinggi apabila masyarakat semakin banyak mendengar dan membaca sesuatu maklumat. Melalui interteks, pembaca atau penerima akan lebih memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan. Kefahaman seseorang terhadap sesuatu wacana yang dibaca atau didengar akan membantunya menghasilkan interteks. Interteks juga perlu mempunyai pertalian. Dalam sesuatu ayat atau perenggan, ayat sebelumnya atau perenggan sebelumnya mempunyai maklumat yang diperkatakan sebagai interteks. Interteks boleh dilihat melalui ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan serta buku dengan buku. Contoh seperti di bawah:

Kereta itu berwarna kuning. Ali memandu kereta itu.

Contoh di atas menunjukkan ciri interteks. Melalui ayat kedua, kita mengetahui Ali memandu kereta berwarna kuning melalui pernyataan ayat yang pertama.


KESIMPULAN

Kesimpulannya, ciri-ciri wacana tersebut perlu ada dalam memastikan wacana itu ialah wacana yang baik. Kelima-lima ciri wacana ini memainkan peranannya yang tersendiri dalam membentuk dan menghasilkan wacana. Namun demikian, ciri yang paling penting dan asas bagi wacana adalah berkesinambungan dan berpautan. Malah, dalam analisis wacana, ciri perpautan telah mendapat perhatian lebih pengkaji. Selain itu, bukan semua ciri-ciri tersebut dipertimbangkan untuk setiap analisis wacana.Pertimbangan kepentingan sesuatu ciri wacana terletak pada tujuan analisis. Misalnya, intertekstual diberi perhatian untuk analisis tipologi teks, dan keterimaan untuk analisis normatif , seperti mengetahui „apakah ciri teks yang baik?.‟ Oleh hal yang demikian, ciri-ciri wacana ini sangat penting dalam penghasilan suatu perkara, yakni tulisan mahupun lisan. Ia boleh digunakan berdasarkan konteks dan tujuan analisis. Sekiranya ciri-ciri ini tiada, maka ia bukanlah wacana. 


RUJUKAN:

Mohd Rashid Md. Idris et. al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

Ikin Hassim, Lau King Siew, & Maria Felcee anak Lee Bass. (2016, April 8). Aspek Kajian Wacana. Wacana Ilmuan. https://analisiswacana-kd1.blogspot.com/p/
            hasil-Analisis.html 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan