KONSEP WACANA

Wacana Bahasa Melayu

Pengenalan

Wacana ialah unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Oleh sebab wacana ialah unit bahasa yang tertinggi, maka wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Secara umumnya wacana dapat dikaitkan dengan tiga kategori besar iaitu melampaui ayat, penggunaan bahasa dan juga amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa.

    Terdapat tujuh ciri dalam wacana iaitu tautan, runtutan, tujuan, penerimaan, maklumat, keadaan dan interteks. Sebuah wacana yang baik akan memenuhi ciri-ciri wacana yang telah dikemukakan. Selain itu, wacana pula terbahagi kepada dua jenis iaitu wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan ialah wacana yang dihasilkan melalui media lisan iaitu melibatkan hubungan pembicara dan pendengar manakala wacana tulisan pula ialah wacana yang disampaikan secara bertulis yang mana melibatkan hubungan antara penulis dengan pembicara.

    Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Antara fungsi penanda wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk menunjukkan sebab, kesan waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana.

    Penanda wacana amat penting kepada sesuatu wacana kerana tanpa penanda wacana yang tepat akan menyebabkan seluruh kandungan wacana berkenaan tidak mempunyai kesatuan dan perpautan yang lengkap. Secara umumnya penanda wacana dalam bahasa melayu terdiri daripada penanda leksikal, penanda rujukan, penanda penghubung, penanda penggantian dan penanda elipsis atau pengguguran.

Definisi wacana

Perkataan Wacana adalah padanan perkataan discourse dalam bahasa Inggeris. Perkataan discourse dalam Kamus Webster, 1983 : 522 bererti hubungan fikiran dengan kata-kata, ekspresi idea-idea atau gagasan-gagasan atau percakapan. Hubungan secara umum, terutama sebagai suatu subjek kajian atau pokok bahasan, risalah tulisan, disertasi formal, kuliah, ceramah serta khutbah. Perkataan wacana menurut Kamus Dewan Edisi Baru 1993 : 1484 bermaksud ucapan, pertuturan, percakapan, keseluruhan tutur yang merupakan suatu kesatuan.

    Semua perkara yang melibatkan bahasa ialah wacana. Retorik menjadi komponen yang penting bagi wacana. Wacana adalah sebagai kesinambungan cerita dengan bahasa yang mudah dan kesinambungan ini ditunjang oleh jalinan maklumat. Dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu pula telah diperkenalkan beberapa definisi wacana. Dari segi hierarki tatabahasa , wacana terletak pada heirarki yang tertinggi selepas ayat, seperti yang berikut :

Perkataan -->Frasa --> Klausa--> Ayat --> Wacana

    Keseluruhan terbitan atau hasil karya dalam sesuatu bahasa. Berdasarkan erti perkataan wacana di atas dapat disimpulkan bahawa perkataan wacana itu sama dengan perkataan ucapan yang utuh untuk wacana lisan, dan karangan yang utuh untuk wacana tulisan dalam pengajaran bahasa Melayu sebelum ini. Wacana ialah satu unit bahasa yang lengkap . Ia melebihi tingkat ayat. Oleh kerana sifatnya yang lengkap wacana mempunyai tubuh teks seperti berikut:
a. Pendahuluan
b. Tubuh - isi, munasabah, logik, menarik, berkesan, usur-unsur paralinguistik (tanda bacaan, cetakan tebal, miring, garis tebal)
c. Penutup
d. graf, jadual, peta dan statistik.

 Definisi Menurut Tokoh

Asmah Haji Omar (1982)3 menegaskan bahawa wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat, yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab, buku, novel, cerpen, cerita, dialog, siri buku (cerita) dan sebagainya. Menurut beliau lagi, wacana tidak mempunyai satu-satu jenis ayat yang terdiri dengan utuhnya tanpa dipengaruhi oleh proses-proses kelahiran ayat. Ini bermaksud bahawa ayat yang selalu didapati dalam struktur dan sistem secara teratur. Asmah telah membezakan ayat sistem daripada ayat wacana. Ayat sistem adalah ayat atau tutur yang dikeluarkan dan diasingkan dari konteks wacana, sedangkan ayat wacana yang juga disebut ayat teks adalah ayat yang betul-betul terdapat dalam wacana teks dan wacana lisan.

    Menurut Raminah Haji Sabran (1984:218) dalam bukunya yang bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian, bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap.

    Menurut Fokker (1951)4 pula, hubungan kesinambungan cerita itu dapat menunjukkan secara nahuan, iaitu perujukan (verwijzing), kata-kata penghubung (verbindingswoorden) dan pengguguran (ellips). Kesatuan makna dalam wacana seperti yang diterangkan di atas akan dilihat dari segi makna logik dan makna tautan. Makna tautan inilah yang merupakan konsep semantik dan merujuk kepada perkaitan kebahasaan yang didapati pada suatu ujaran yang membentuk wacana.

    Stubbs, Michael menyatakan bahawa wacana merupakan kesatuan bahasa yang lebih besar daripada ayat atau klausa. Dengan kata lain, wacana merupakan unit-unit linguistik yang lebih besar daripada ayat atau klausa, seperti pertukaran-pertukaran percakapan atau teks-teks tertulis. Secara ringkas, yang disebut teks bagi wacana adalah ayat bagi ujaran.

    Harimurti Kridalaksana (1984:204)1 menyatakan bahawa wacana adalah satuan bahasa terlengkap; dalam hierarki tatabahasa merupakan satuan tatabahasa tertinggi atau terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, ensiklopedia, dan sebagainya, paragraf, ayat atau kata yang membawa amanat yang lengkap.

    Anton M.Moeliono (1995:407)2 mendefinisikan wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu.

    Henry Guntur Tarigan menegaskan bahawa wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau tertulis.

    Setelah dilihat beberapa huraian tentang beberapa definisi mengenai wacana yang diambil daripada berbagai-bagai sumber, dapat dilihat bahawa adanya persamaan dan juga perbezaan pendapat mengenai dengan definisi wacana yang diperolehi dari ahli-ahli linguistik ataupun penulis.

    Secara tuntasnya, wacana letaknya lebih tinggi daripada ayat pada skala tatatingkat tatabahasa dan mempunyai keteraturan fikiran logik (coherence) dan juga tautan (cohesion) dalam strukturnya. Wacana dicirikan oleh kesinambungan maklumat. Makna kesinambungan di sini adalah diertikan sebagai kesatuan makna. Terdapat lapan unsur-unsur penting dalam wacana iaitu satuan bahasa, terlengkap, mengatasi ayat atau klausa, teratur atau tersusun rapi, berkesinambungan, kohesi, lisan atau tulisan awal dan juga akhir yang nyata.

Konsep wacana

Perkataan Wacana berasal daripada perkataan wacana berasal daripada bahasa Jawa wocono. Wocono pula daripada woco yang bermaksud baca. Dalam bahasa Inggeris, discourse berasal daripada bahasa Latin discursus yang bermakna ‘larian ke dan dari’. Menurut Chafe, wacana digunakan dengan pelbagai maksud oleh pelbagai pengkaji. Tetapi, pada umumnya wacana dilihat sebagai sesuatu yang melampaui sempadan ayat yang terpisah-pisah. Wacana dan teks digunakan saling bertukar ganti, dan kedua-duanya merujuk kepada unit bahasa yang lebih besar daripada ayat. Wacana, menurut beliau lagi, merujuk kepada kajian tentang unit tersebut, cabang linguistik yang setara dengan cabang yang lain seperti morfologi atau sintaksis.

Menurut Trask, wacana dikatakan sebagai siri ujaran yang bersambungan oleh seorang penutur atau lebih. Crystal menyatakan wacana dalam linguistik merujuk kepada jujuhan bahasa (biasanya lisan) yang lebih besar daripada ayat. Crystal juga mendefinisikan wacana sebagai unit perlakuan. Unit ini mempunyai status prateori dalam linguistik, iaitu seberkas ujaran yang terdiri daripada peristiwa bahasa seperti perbualan, khutbah dan temu duga. Cook mendefinisikan wacana sebagai bahasa dalam penggunaan dan untuk perhubungan (Sanat, 2002:35-36). Dijk (1997: 1-34) menyatakan konsep wacana kabur kerana tentang fenomena yang rencam. Namun, wacana menurut beliau suatu bentuk penggunaan bahasa yang melibatkan komunikasi dan interaksi. Werth (1999: 1) pula melihat wacana sebagai suatu peristiwa bahasa yang sempurna yang mempunyai awal dan akhir.

    Selain itu, menurut Johnstone, B. (2002:2-4), wacana dilihat sebagai contoh sebenar komunikasi melalui bahasa. Wacana juga dalam bentuk jamak merujuk kepada pola kepercayaan dan tindakan lazim di samping pola bahasa. Wacana demikian merujuk kepada idea dan cara bertutur sehingga dapat mempengaruhi dan dipengaruhi. Menurut Schiffrin et. al (2003:1), wacana mempunyai makna yang berbeza kepada pakar yang berbeza bidang. Kepada ahli bahasa, wacana biasanya didefinisikan sebagai apa sahaja yang melampaui ayat. Malah, definisi wacana itu dapat dirangkumkan kepada tiga kategori besar, iaitu yang melampaui ayat, penggunaan bahasa, dan amalan sosial yang meliputi bukan linguistik dan bukan tentu bahasa. Mereka melihat wacana dan analisis wacana sebagai sama.

    Dapat disimpulkan di sini bahawa wacana sebagai unit tertinggi bahasa yang melampaui ayat dan kajian tentang unit tersebut. Sebagai unit bahasa yang tertinggi, wacana dapat direalisasikan dalam pelbagai bentuk sehingga meliputi peristiwa bahasa. Sebagai kajian, wacana memfokuskan pada unit tertinggi bahasa itu sehingga meliputi amalan sosial.

    Analisis wacana menurut Johnstone, B. (2002:2-4), memfokus kepada proses memecahkan wacana kepada bahagian kecil dengan berdasarkan kriteria tertentu dan melihat ciri setiap bahagian itu. Selain melihat ciri struktur bahagian itu, analisis wacana juga melihat fungsi bahagian itu. Menurut beliau, analisis wacana sekadar metodologi.

    Dijk,T. A.V. (Schiffrin et. al, 2003:352) melihat analisis wacana peringkat kritis se-bagai sejenis kajian analisis wacana yang berfokus pada cara penyalahgunaan kuasa sosial, penguasaan dan ketidaksetaraan dimuatkan, ditampilkan dan dipertahankan melalui wacana dalam konteks sosial dan politik. Penganalisis wacana kritis mengambil pendirian yang jelas untuk memahami ketidaksetaraan sosial sehingga sanggup mendedahkan dan memeranginya.

    Wacana sebagai unit bahasa yang terbesar dianalisis melalui analisis wacana. Analisis wacana pula berkait dengan pandangan bahasa (Sanat,2005a:131-132). Ada tiga pandangan bahasa pada umumnya: Pandangan positivisme-empiris yang melihat bahasa sebagai jambatan antara manusia dengan objek di luar dirinya. Analisis wacana dalam konteks pandangan ini tidak melihat makna subjektif atau nilai yang mendasari penyataan. Sebaliknya, makna penyataan dilihat sebagai kebenaran atau ketidakbenaran sesuatu wacana dari segi aturan tatabahasa, seperti tautan dan runtutan.

    Pandangan konstuktivisme menolak pandangan positivisme-empirisme yang memisahkan subjek dengan objek. Subjek dianggap sebagai faktor utama dalam kegiatan wacana serta hubungan sosialnya. Subjek memiliki kemampuan untuk men guasai maksud tertentu dalam setiap wacana. Oleh itu, analisis wacana dimaksudkan sebagai suatu analisis untuk membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek.

    Pandangan kritis membetulkan pandangan konstuktivisme yang kurang sensitif kepada proses produksi dan reproduksi makna yang terjadi secara historis dan institusional. Bahasa dalam pandangan kritis difahami sebagai representasi yang berpe-ranan dalam membentuk subjek tertentu, topik wacana tertentu, mahupun strategi di dalamnya. Oleh itu, analisis wacana dipakai untuk membongkar kuasa yang ada dalam setiap proses bahasa.

    Di sini, jelas analisis wacana bermaksud sebagai metodologi untuk melihat sama ada makna penyataan sebagai kebenaran atau ketidakbenaran wacana, membongkar maksud dan makna tertentu daripada penyataan subjek, atau membongkar kuasa dan ketidaksetaraan sosial yang ada dalam setiap proses bahasa.

    Konsep tatabahasa wacana pula dalam kertas ini selain sebagai tatabahasa yang mencakupi unit tertinggi bahasa, iaitu wacana, juga mengambil kira asas penggunaan bahasa yang mengambil kira koteks dan konteks yang cukup luas sehingga memungkinkan pengguna peka teks, koteks, dan konteks amalan sosial dan amalan agama. Dengan kata lain, tatabahasa seperti ini dikenali sebagai tatabahasa wacana mega (Sanat, 2005 dan 2006).

    Konsep tatabahasa ini sama dengan analisis wacana dari segi cakupan tumpuan pada wacana tetapi berbeza dari segi konteks amalan dan metodologi. Metodologi analisis wacana sekadar menganalisis yang menurut Johns-tone, B. (2002:2-4) merujuk kepada proses analisis secara eksplisit, sama ada mental atau mekanikal dalam memecahkan sesuatu kepada bahagian kecil.


RUJUKAN: 

http://gurubahasamelayu.blogspot.com/

Mohd Rashid Md. Idris et. al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus 
Publications.

Nik Safiah Karim et al. (2014). Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan 
Bahasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan