STRUKTUR MAKLUMAT DAN STRUKTUR TEMA
Menurut Halliday dalam Bloor (1995:66), terdapat dua sistem yang hampir sama yang melibatkan struktur dalam klausa. Yang pertama dikenali sebagai struktur maklumat yang melibatkan binaan yang disebut maklumat lama dan maklumat baru dan yang kedua melibatkan binaan yang dikenali sebagai tema dan rema.
Struktur
Tema
Menurut pendapat Halliday yang dipetik oleh Mohd Rashid Md
Idris (2007), struktur tema merupakan salah satu struktur yang bercirikan
amanat. Menurut Samad Md. Nasir, struktur tema dilihat sebagai sesuatu yang
mencirikan klausa sebagai amanat. Menurutnya lagi, klausa sebagai struktur
amanat terdiri daripada tema dan rema. Tema merujuk kepada kategori formal
sebagai unsur pada kedudukan awal klausa, titik mula klausa sebagai amanat.
Manakala rema pula adalah yang selebihnya, iaitu bahagian yang mengembangkan
ataupun menerangkan tentang tema.
ST (Struktur Tema) = T (Tema) + R (Rema)
Tema
Tema lazimnya berada di hadapan sebagai titik mula amanat dan perhatian dalam klausa. Selain itu, tema juga merujuk kepada kategori formal sebagai unsur pada kedudukan awal klausa. Tema boleh terdiri daripada kata nama, kata sendi nama dan kata hubung.
Rema
Rema pula didefinisikan sebagai bahagian yang mengembangkan tema. Lazimnya, rema terletak pada bahagian belakang, yakni selepas tema.
Struktur
Maklumat
Manakala Halliday (1998) menyatakan bahawa struktur maklumat
didefinisikan sebagai suatu proses interaksi antara apa yang telah diketahui
atau boleh diagak dan apa yang baru atau yang tidak boleh diagak. Struktur
maklumat mengandungi unit-unit maklumat yang strukturnya terbina daripada dua
fungsi, iaitu maklumat lama dan maklurnat baru. Maklumat baru merupakan
maklumat yang diandaikan oleh penutur sebagai maklumat yang masih belum
diketahui oleh pendengar. Manakala maklumat lama pula didefinisikan sebagai
maklumat yang diandaikan oleh penutur telah diketahui pendengar sama ada telah
ada dalam teks atau melalui hubungan
wacana. Konsep struktur maklumat Halliday ini turut disentuh oleh Brown dan
Yule (1983). Manakala Crystal (1987:157), mentakrifkan maklumat lama sebagai maklumat
yang telah dibekalkan berdasarkan konteks sebelumnya semasa bertutur, manakala
maklumat baru pula, maklumat yang menambahkan maklumat yang telah sedia ada.
Sanat (
1997) melihat struktur maklumat berdasarkan fungsi. Beliau mendefinisikan
struktur maklumat sebagai organisasi teks atau wacana yang berdasarkan fungsi
maklumat lama dan maklumat baru. Menurut beliau lagi, struktur maklumat
direalisasikan berdasarkan sistem sintaksis dan fonologi. Sato Hirobumi
mengaitkan definisi struktur maklumat dengan kegiatan pertuturan. Tokoh ini
berpendapat bahawa penyampai ataupun penulis selalunya tidak memberi peluang
untuk memastikan maklumat yang hendak disampaikannya itu merupakan maklumat
lama atau maklumat baru bagi penerimanya. Kenyataan ini bermakna bahawa
keberkesanan komunikasi adalah terjejas dan sering terputus-putus sekiranya
penyampai sentiasa memastikan tiap-tiap maklumat yang disampaikannya itu lama
atau baru semasa komunikasi sedang berlaku. Oleh itu, penyampai seharusnya
melakukan tambahan maklumat baru satu demi satu mengenai sesuatu topik melalui
maklumat lama yang sudah diketahui oleh penerima atau pembacanya. Penelitian
struktur maklumat yang dibuat oleh Sato pula (1991) dikaitkan dengan struktur
tema. Beliau mengaitkan struktur maklumat dengan susunan ayat secara logik,
iaitu judul cerita dalam bentuk lahirnya. Tambahnya lagi, dalam menyampaikan
maklumat, penyampai perlu memulakan cerita berdasarkan perkara yang telah ada
dalam pengetahuan penerima, yang disebut sebagai “pengetahuan latar” penerima
maklumat. Dalam hal ini, pengetahuan latar yang telah menjadi milik penerima
dinamakan maklumat lama dan pengetahuan yang telah ditokok tambah oleh
penyampai dinamakan maklumat baru. Beliau telah membahagikan struktur maklumat
dengan dua aspek iaitu maklumat lama (ML) ada 7 penanda iaitu dan maklumat baru
ada 4 penanda:
Maklumat Lama
- Kaedah perujukan
Kaedah perujukan merujuk kepada
perkara atau hal yang secara langsung dirujuk
melalui teks dan rujukan yang dibuat
itu dan dapat dikenal pasti melalui penggunaan
kata ganti.
- Kaedah penggantian
Sesuatu unsur yang disebut, kemudian digantikan dalam bentuk baharu secara sistematik ataupun nahuan.
- Kaedah perulangan seluruh
Dari perspektif nahuannya, kaedah
perulangan seluruh membawa makna perulangan
yang berlaku pada unsur-unsur dalam
wacana tanpa menimbulkan sebarang perubahan
pada kategorinya.
- Kaedah perulangan sebahagian
Kaedah perulangan sebahagian ialah
perubahan kategori yang berlaku pada rangkai
kata yang mengulang.
- Kaedah penghilangan (elipsis)
Didefinisikan sebagai berlakunya
penghilangan penyampaian atau amanat penulis. Kaedah ini juga dikenali sebagai
kaedah elipsis.
- Kaedah leksikal (pertalian semantik)
Kaedah leksikal merujuk kepada
pertalian antara ayat secara semantik. Hal yang
demikian ini bermaksud, setiap ayat
mengandungi ikatan atau pertalian yang
dihubungkan secara semantik.
- Kaedah parafrasa (perulangan dalam bentuk lain)
Penyataan idea yang sama tetapi cara
pengolahannya berbeza.
Maklumat Baru
- Maklumat baru tambahan (MBT)
Merujuk kepada maklumat baru yang
ditambah berdasarkan maklumat lama yang
muncul di titik permulaan perbicaraan ayat.
- Maklumat baru kontrastif (MBK)
Maklumat baru kontrastif pula
merujuk kepada dua atau lebih klausa berbeza dari segi
semantik.
- Maklumat baru neutral (MBN)
Maklumat baru pemberitaan neutral
merujuk kepada susunan maklumat yang tidak
mengandungi sebarang maklumat lama
yang disediakan dalam peraanggapan
sebagaimana contoh ayat yang dinyatakan.
- Maklumat baru fokus (MBF)
Maklumat baru merujuk kepada susunan
maklumat yang melibatkan fokus
pembezaannya (maklumat baru) yang menduduki tema (judul).
RUJUKAN:
Mohd Rashid Md. Idris et. al (2012). Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.
Ikin Hassim, Lau King Siew, & Maria Felcee anak Lee Bass. (2016, April 8). Aspek Kajian Wacana. Wacana Ilmuan. https://analisiswacana-kd1.blogspot.com/p/hasil-Analisis.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan