TAUTAN (KOHESI)
Istilah tautan digunakan bagi merujuk kepada “cohesion” dalam
bahasa Inggerisnya. Istilah-istilah lain yang sinonim dengan tautan ini yang
sering digunakan ialah seperti tetenunan, kohesi, kepaduan dan pautan. Tautan
bermaksud keserasian hubungan antara unsur yang satu dengan unsur yang lain
dalam wacana sehingga terciptalah koherensi. Menurut Sanat Md. Nasir (2002)
Tautan bermaksud hubungan antara sesuatu unit teks yang lain melalui peranti
tautan. Hubungan bentuk linguistik ini boleh berlaku secara hubungan semantik. Unit
Teks bermaksud unit yang secara tulisannya sebagai satu ayat yang awal dan akhirnya
ditandai dengan titik atau awal dan yang akhirnya dengan huruf besar. Peranti
tautan pula merujuk kepada jenis tautan yang membentuk teks. Model Tautan Pindaan
( Sanat Md. Nasir, 2002) mengkategorikan tautan kepada tiga jenis utama,iaitu
Tautan Perulangan, Tautan Kolokasi, dan Tautan Penghubung Ayat.
1. Tautan perulangan
Tautan perulangan menunjukkan ciri, sama ada bentuk unsur
linguistik yang berulang atau dari segi makna, unsur itu yang berulang atau
kedua-duanya sekali. Ciri yang sedemikian termasuklah fungsi yang terlibat
untuk memperincikan tautan perulangan kepada tujuh jenis, iaitu:
a ) Tautan perulangan rujukan
Perulangan rujukan dibezakan daripada yang lainnya dari segi
semantik. Unsur yang berhubungan dikaitkan kerana adanya makna rujukan itu
walaupun bentuk unsur itu tidak sama. Tautan perulangan rujukan ini boleh
disubkategorikan kepada jenis yanglebih kecil, iaitu perulangan rujukan peribadi,
rujukan tunjuk dan rujukan bandingan. Contoh ayat:
i. Aina suka memasak.
ii. Dia juga sering ke pasar.
b) Tautan perulangan penggantian
Tautan ini berbeza dengan jenis yang lain dari segi kriteria
tatabahasa dan semantik. Tautan perulangan ini bercirikan tatabahasa berbanding
dengan tautan perulangan rujukan. Unsur yang menggantikan dalam tautan
penggantian mengekalkan golongan tatabahasa atau tidak mengubah struktur yang
digantikan.Unsur ini sebagai pancang kepada yang digantikan. erulangan dalam
konteks penggantian ini ialah perulangan makna. Tautan perulangan penggantian
ini boleh disubkategorikan kepada yang lebih kecil, iaitu penggantian namaan,
penggantiaan karyaan dan penggantian klausaan. Contoh ayat:
i. Wacana ialah sesuatu perkara yang melebihi batas ayat
seperti teks.
ii. Demikianlah jawapan Encik Asmadi sebagai menjawab soalan
para pelajarnya.
C ) Tautan perulangan ellipsis
Tautan ini menyerupai perulangan penggantian seperti yang
disebutkan sebelum ini,iaitu dari segi kriteria dan penjenisannya. Unsur yang
digugurkan dalam ayat dapat diinterprestasikan berdasarkan unsur yang
mendahuluinya. Justeru, ia dinamakan penggantian kosong yang menggunakan simbol
Ø. Contoh ayat:
i. Saya telah memperdengarkan bacaan al-Quran di tiga buah
negara luar iaitu Australia, Afrika dan Pakistan.
ii. Saya berharap dapat memperdengarkan bacaan Ø ke lebih banyak
negara. Kata Azmi lagi.
d) Tautan perulangan leksikal
Tautan ini dibezakan dengan yang lain dari segi kriteria bentuk
leksikal dan makna. Bentuk yang diulang itu mungkin sama atau mempunyai akar
kata yang sama, yang bersinonim atau kata umum. Contoh ayat:
i. Stadium di IPG Kampus Kota Kinabalu kini hanya membabitkan
kerja-kerja akhir seperti pemasangan lampu, papan markah elektronik dan
mengindahkan lanskap.
ii. Saya gembira dengan perkembangan pembinaan stadium kini melibatkan
maslah kecil sahaja. Kata Pengarah IPG Kota Kinabalu.
e) Tautan perulangan Prafrasa
Tautan ini merujuk kepada perulangan makna yang sama dan bukan
bertaraf leksikal, tetapi daripada unsur yang bersifat frasa sehinggalah
ayat. Ia dibezakan dari segi bentuk susunan unsur yang bertaut itu. Contohnya
ayat:
i. Bidang kejurulatihan dan pengadilan ditawarkan buat bekas gimnas
artistic negara, Aizati Dawi kecimpung dalam sukan ini pada masa depan.
ii. Nama atlit itu dicadangkan untuk menyertai kursus kepengadilan
bagi Asia Tenggara sebagai persediaan menjadi pengadil pada masa-masa akan
datang.
f) Tautan perulangan paralelisme
Tautan ini merupakan pertentangan kepada perulangan parafrasa.
Tautan ini merujuk kepada bentuk susunan yang sama antara unsur yang bertaut,
tetapi mempunyai makna yang berlainan. Unsur yang bertaut ini bukan bersifat
leksikal, tetapi sekadar antara ayat atau unit teks yang singkat atau subjek
dan predikat sesuatu ayat sehingga terasa hubungan itu sesuatu yang bermakna.
Contohnya ayat:
i. Sekurang-kurangnya 100 orang maut apabila satu kebakaran
berlaku di sebuah kedai makan di Jerman.
ii. Sekeluarga yang terdiri daripada sembilan orang maut apabila
satukebakaran berlaku di sebuah banglo di Jalan Petaling Jaya.
g) Tautan perulangan struktur dan makna yang sama
Tautan perulangan ini merujuk kepada unsur yang bertaut bukan
bertaraf leksikal,tetapi yang bertaraf frasa sehinggalah ayat. Tautan jenis ini
menunjukkan persamaan dari segi bentuk susunan dan makna. Tautan ini menyatukan
aspek tertentu parafrasa dan paralelisme. Contohnya ayat:
i. Persidangan terbesar bandar pintar pernah diadakan bagi meningkatkan
perkhidmatan pelbagai jabatan kerajaan yang menjagakepentingan penduduk setempat.
ii. Persidangan itu bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan
berbagai-bagai jabatan kerajaan yang menjaga kepentinga penduduk setempat dan
para pelancong.
2. Tautan kolokasi
Tautan kolokasi
tidak melibatkan unsur linguistiknya berulang bentuk dan makna.Tautan jenis ini
merujuk kepada konteksnya, iaitu kehadiran sesuatu linguistik dengan yang lain
antara dua unit teks. Kehadiran ini melibatkan domain makna. Dengan berdasarkan
domain makna inilah kehadiran unsur linguistik yang terlibat diperincikan kepada
empat jenis, iaitu:
a) Tautan kolokasi antonim
Tautan ini menunjukkan kehadiran unsur tautan yang bercirikan makna
yangberlawanan. Contohnya ayat:
i. Industri perindustrian tempatan masa kini semakin
diperakui diperingkat antarabangsa.
ii. Berbanding pada masa dahulu industri ini kurang mendapat
tempat.
b) Tautan kolokasi kohiponiman
Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna unsur pada
peringkat superordinate dengan ordinatnya atau antara hiponima atau termasuk
meronimi, yakni hubungan unsur yang sebahagian yang menyeluruh atau antara
unsur sebahagian daripada entiti yang menyeluruh. Contoh ayat:
i. Program tuisyen mata pelajaran utama bertujuan untuk
membantupelajar mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.
ii. Pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu, Matematik Sains dan
Bahasa Inggeris disarankan untuk menghadiri tuisyen itu secara percuma.
c) Tautan Kolokasi HasilTautan ini melibatkan kehadiran
hubungan makna unsur tautan yang satumenghasilkan yang lain atau unsur yang
dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik.Contohnya ayat:
i. Kanak- kanak berusia lima tahun nyaris putus tiga jari tangan
kananapabila mercun bola yang dipasangkan meletup secara tiba- tiba.
ii. Kejadian berlaku kerana ada ibu bapa yang berpendapat
bahawapermainan bunga api dan mercun merupakan satu kemestian padasetiap kali
perayaan
d) Tautan kolokasi sifat
Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna antara unsur
tautan yangmenjadi punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada
entiti punca sifat. Contoh ayat:
i. Kempen mengharamkan sajian makanan haram bersama
minumanhalal yang lain kepada pengunjung Muslim telah diadakan secarabesar-
besaran di negara itu.
ii. Pihak hotel perlu peka bahawa Islam melarang umatnya
makanmakanan yang memudaratkan bagi menjamin akhlak yang terpuji.
3. Tautan penghubung ayat
Tautan penghubung ayat ditentukan dengan melihat fungsi unsur
linguistik itu.Penghubung itu berperanan untuk menghubungkan antara unsur
linguistik, iaitu unitteks sebelum dan yang sesudahnya. Penghubung itu sendiri
bukan unsur tautan, tetapisebagai menghubungkan unit teks. Dengan berdasarkan
kriteria makna, penghubungayat itu dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:
a) Tautan penghubung ayat tambahan
Penghubung ayat tambahan merupakan inti atau butiran yang
memberikan tambahan kepada sesuatu perkara yang diutarakan oleh
penyampai. Contoh ayat:
i. “Milah amat menyayangi anaknya, Fiza, justeru merancang
untuk memberikannya seutas rantai emas.”
b) Tautan penghubung ayat tentangan
Penghubung ayat jenis ini ialah pernyataan yang berlawanan atau
bertentangan. Hal ini boleh dilihat dengan jelas melalui kata hubung yang
menunjukkan kontra. Contoh ayat:
i. “ Anita bercadang untuk tinggal di Amerika dalam tempoh
yang lebih lama tetap ibunya menyuruh dia pulang ke tanahair
untuk menguruskan syarikat mereka.”
c) Tautan penghubung ayat sebab-musabab
Jenis penghubung ayat ini menggabungkan dua unsur yang berkaitan. Contoh
ayat:
i. “Mizan telah menyedari akan kesilapannya yang selalu bercakap
kasar terhadap ayahnya. Oleh itu,
dia bergegas pulang ke kampung untuk memohon maaf.”
d) Tautan penghubung ayat waktu
Penghubung ayat jenis ini merujuk kepada pertautan yang
melambangkan tempoh, jangka masa, atau waktu. Contoh ayat:
i. “Sebelum ini, rumah tersebut kelihatan sangat
cantik.”
e) Tautan penghubung ayat terusan
Penghubung jenis ini tidak termasuk dalam mana-mana empat jenis
penghubung ayat yang dibincangkan sebelum ini. Contoh ayat:
i. “Kini, sudah dua tahun kapal terbang MH370 hilang
daripada radar"
RUNTUTAN (KOHEREN)
Runtutan ini dikatakan sebagai perantaraan gagasan idea yang
menunjukkan sesuatu idea atau fikiran yang dijalin dalam sebuah cerita atau
peristiwa untuk membentuk sesuatu teks. Peristiwa atau cerita yang disampaikan
itu pula semestinya mempunyai makna. Maka, erti makna di sini adalah merujuk
kepada suatu objektif medium untuk menyampaikan bahasa atau tanda-tanda lain
untuk mewakili dan menyampaikan pengetahuan yang sebenarnya dalam sesebuah teks.
1. Penanda penghubung
Penanda penghubung merupakan perkataan atau frasa yang
menghubungkan sesuatu maklumat dengan makumat yang lain dalam wacana. Penanda
ini dibahagikan kepada empat iaitu penghubung tambahan, penghubung tentangan,
penghubung musabab dan penghubung tempoh.
a) Penghubung tambahan
Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat
tambahan kepada sesuatu perkata yang ingin diperkatakan sebelumnya.
Contoh: dan, lalu, malaha , lebih-lebih lagi, tambahan pula, di
samping itu, selain itu, selanjutnya, lagipun, juga.
b) Penghubung tentangan
Penghubung tentangan merupakan penghubung yang menujukkan
pertentangan maklumat antara suatu yang baharu dengan yang sebelumnya dalam
wacana yang sama.
Contoh: tetapi, namun, sebaliknya, namun begitu, walau bagaimapun,
namun demikian, jika tidak.
c) Penghubung musabab
Penghubung musabab atau akibat adalah penanda wacana yang merupakan
sebab berlakunya sesuatu.
Contoh: kerana, oleh hal demikian, dengan itu, oleh sebab, maka
itu, oleh itu, dengan yang demikian, jadi, sebagai akibatnya.
d) Penghubung tempoh
Penghubung tempoh merupakan penanda penghubung yang menunjukkan
urutan masa atau siri berlakunya sesuatu.
Contoh: pertamanya, seterusnya, kemudian, selepas itu, selanjutnya,
maka, akhirnya, berikutnya, sekarang, pada masa itu, pada ketika itu, pada masa
sekarang.
1. Penanda rujukan
Penanda rujukan ialah kata ganti nama diri orang (pertama, kedua,
dan ketiga) dan kata ganti nama tunjuk (ini, itu, sini, sana dan situ) ang
digunakan bagi merujuk kepada perkataan atau frasa lain.
2. Penanda penggantian
Penanda penggantian ialah frasa nama, frasa kerja, atau klausa yang
menggantikan perkataan atau frasa lain dalam wacana yang sama. Penanda
penggantian terdiri daripada penanda penggantian nominal, verbal dan klausal.
Penggantian nominal ialan penggantian yang dilakukan terhadap kata nama atau
frasa nama, manakala penggantian verbal melibatkan penggantian terhadap kata
atau frasa kerja dan penggantian kalusa pula melibatkan penggantian sebahagian
daripada ayat.
a) Penggantian nominal
Contoh:
“Pembuangan
bayi semakin menjadi-jadi terutamanya di bandar besar. Pihak berkuasa harus
bertindak segera untuk mengatasi gejala ini.” (frasa nama)
Untuk menggantikan: pembuangan bayi > gejala ini
b) Penggantian verbal
Contoh:
“Saya sengaja
tidak mahu menebang pokok nangka itu. Nanti baru saya lakukan.
Untuk menggantikan: menebang pokok durian > lakukan
d) Penggantian klausa
Contoh:
“Mereka berkata
bahawa saya tidak akan lulus dalam ujian temuduga itu. Bahawa mereka beranggap
demikian tidaklah menghairankan saya.
Untuk menggantikan: Mereka berkata bahawa saya tidak akan lulus
dalam ujian temuduga itu > mereka beranggapan demikian
3. Penanda leksikal
Penanda leksikal ialah penanda yang melibatkan pertautan (kohesi)
antara perkataan atau frasa secara semantik (makna) dalam sesebuah wacana.
Penanda leksikal melibatkan unsur pengulangan kata dan kebiasaannya pengulangan
kata yang terlibat ialah pengulangan unsur yang sama, pengulangan sinonim,
hiponim dan kolokasi. Pengulangan unsur yang sama bermaksud setiap kata diulang
secara penuh tanpa melakukan sebarang perubahan.
a) Pengulangan perkataan yang sama
“Ali berjabat tangan dengan pegawai itu. Adiknya juga berjabat
tangan dengan pegawai itu.
b) Pengulangan sinonim > pengulangan perkataan sama makna
“Saya mendapati doktor itu sangat kacak. Kawan-kawan saya juga
bersetuju bahawa doktor itu amat tampan.
c) Pengulangan hiponim > pengulangan yang melibatkan perkataan
yang umum dan khusus maknanya.
“Penjaja itu menjual pelbagai jenis makanan seperti keropok,
kerepek, kacang dan biskut.
d) Pengulangan kolokasi > pengulangan kata yang kehadirannya
saling berkait.
“Perhijrahan penduduk dari desa ke bandar disebabkan oleh faktor
tarikan dan faktor tolakan.
4. Penanda Elipsis
Penanda ellipsis juga disebut sebagai penanda pengguguran. Penanda
ini melibatkan pengguguran frasa atau perkataan yang telah dinyatakan dalam
ayat yang sebelumnya.
RUJUKAN :
Nur Shazana Ayuni Ahmad Jailani, Christie Shayun Anak Damon, Nurul Nadzirah Jasni & Norazura Yazid (2016). Analisis Wacana. http://analisiswacana2016.blogspot.com/2016/05/tautan-kohesi-dan-runtutan-koheren.html
Rozita Mohamad Yuneh (2022). Model Pengajaran Unsur Tautan (2009) dalam Pendidikan Bahasa Melayu: Trend, Elemen, dan Faedah. Jurnal Melayu, 21(1), 42-56.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan